Thank You

Tuesday, July 26, 2011

60,000 Tiket Perlawanan Malaysia-Singapura Telah Dijual

KUALA LUMPUR – Sejumlah 60,000 tiket untuk menyaksikan perlawanan kedua pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2014 di antara Malaysia dan Singapura, Khamis ini telah dijual.

Kesemua 60,000 tiket telah dibeli pada hari pertama tiket perlawanan itu mula dijual di tiga stadium yang dipilih.

“Kita (FAM) memang menjangkakan sambutan begitu menggalakkan khususnya di kalangan peminat tempatan,” kata pengerusi Jawatankuasa Tiket dan Pintu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk S. Sivasundaram kepada Bernama.

Menurut beliau sebanyak 25,000 tiket telah diagih-agihkan untuk jualan di Stadium Nasional Bukit Jalil dan masing-masing 12,500 tiket lagi untuk dijual di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Stadium Shah Alam.

Katanya, kesemua tiket yang diperuntukkan untuk jualan di Stadium Nasional habis dijual setakat pukul 3.30 petang manakala di dua lagi stadium pada pukul 5 petang.

Mengikut jadual asal, kaunter-kaunter tiket di ketiga-tiga stadium beroperasi dari pukul 9 pagi hingga 7 malam dan akibat sambutan yang di luar jangkaan, kaunter ditutup lebih awal.

Selain jualan terus tiket di kaunter-kaunter tiket, Sivasundaram berkata sebanyak 10,000 tiket telah ditempah dan dibeli melalui dalam talian iaitu di laman web www.tickethotline.com.my.

Daripada jumlah 60,000 tiket itu, 2,000 adalah daripada penyokong Singapura.

“Baki 25,000 tiket yang ada akan dijual esok di ketiga-tiga stadium bermula pukul 9 pagi,” katanya.

Mengenai rungutan sesetengah penyokong yang tidak dapat membeli tiket hari ini, Sivasundaram berkata: “Terdahulu sebelum ini kita telah umumkan yang kita akan menjual tiket-tiket berkenaan selama tiga hari bermula Selasa.

“Kalau kita jual habis semua tiket hari ini, macam mana pula bagi pembeli yang merancang untuk membelinya esok atau lusa. Kita tidak boleh puaskan hati semua pihak,” tambah beliau.

Credit to mR.Google

Sumber: mynewshub.my

No comments: