Thank You

Wednesday, March 16, 2011

Rakyat Malaysia di Jepun selamat pulang

SEPANG: Beberapa rakyat Malaysia yang kebetulan berada di Jepun semasa gempa bumi dan tsunami melanda negara itu Jumaat lepas, selamat pulang ke tanah air petang ini.

Mereka yang menaiki pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH71, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Lapangan Terbang Narita pada pukul 4.15 petang.

Antara mereka yang pulang ialah Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datuk Yong Soo Heong, yang sangat gembira sebaik tiba di KLIA dan melahirkan rasa syukur kerana selamat pulang ke tanah air.

Yong yang berada di Tokyo untuk tugasan Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (Jetro) berkata beliau kagum dengan disiplin tinggi yang ditunjukkan oleh rakyat Jepun meskipun ketika mereka menghadapi malapetaka itu.

"Apa yang kita boleh pelajari daripada kejadian ini adalah rakyat Jepun sangat berdisiplin selepas bencana itu berlaku, penduduk di Tokyo sangat berdisiplin. Mereka beratur untuk menaiki bas, teksi dan semuanya," kata beliau ketika ditemui di KLIA hari ini.

Jumaat lepas, gempa bumi kuat 8.9 pada skala Richter di timur laut negara itu mengakibatkan tsunami yang menyebabkan lebih 1,700 orang maut, 10,000 lagi hilang, 215,000 orang pindah ke khemah sementara dan kerugian dianggarkan RM52 bilion. - Bernama

sumber: myMetroAhad- 13 March 2011.

No comments: