Thank You

Wednesday, January 26, 2011

Lelaki Pilihan Wanita

Jika lelaki diberi panduan untuk memilih wanita yang baik, mengapa tidak ada panduan untuk wanita bagi mencari suami. Jika ada sudah pasti isteri tidak tersalah memilih suami pada masa hadapan.

Secara jelasnya memang Rasulullah saw tidak sebut kerana lazimnya lelaki sahaja yang mencari wanita. Tetapi jika wanita benar-benar mahu mencari bakal suami, mereka boleh mencontohi sepertimana Khadijah memilih suaminya, Muhammad Rasulullah saw

Pada peringkat awal Khadijah menghantar 'perisik' untuk melihat peribadi Muhammad secara dekat. Perisik yang adil sudah pasti akan membuat laporan yang betul. Akhirnya mereka berkahwin dan ternyata pilihan itu adalah terbaik buatnya.

Antara ciri yang ada pada diri Muhammad ialah:
  1. Jujur, tidak mengambil kesempatan
  2. Amanah dengan tugas
  3. Pemalu dengan wanita
  4. Beragama, takut kepada Allah
  5. Boleh menjadi pemimpin
Percayalah jika suami mempunyai ciri-ciri ini, pasti disenangi oleh isteri, malah saling hormat-menghormati hingga ke akhir usia. Suami dalam keadaan itu tidak akan melakukan dosa sama ada sesama manusia apatah lagi dengan Allah SWT.

Suami yang mempunyai ciri di atas perlu juga mencari wanita yang beragama bagi membentuk rumah tangga yang aman bahagia. Gabungan inilah yang dikatakan serasi ataupun sekufu.

Persoalan sekarang, wujudkah lelaki yang memiliki ciri-ciri di atas pada zaman ini? Adakah ciri lelaki berkenaan ditemui di kebun bunga atau pusat membeli belah?

Inilah realiti yang berlaku pada hari ini. Pasangan yang berkahwin dalam keadaan itu, bahagianya hanya pada awalnya tetapi bermasalah pada pertengahan jalan. Malah beberapa kes yang ditemui, pasangan itu tidak pandai atau tidak mendirikan solat.

Jelas di sini, selain lelaki yang perlu mencari isteri yang beragama, beriman, elok paras rupa, berharta dan berketurunan baik, wanita juga perlu memilih bakal suami berdasarkan ciri-ciri di atas. Untuk itu, wanita juga perlu ada kumpulan perisik seperti yang dilakukan oleh Khadijah.

Apabila suami isteri sudah mengikut ciri di atas mereka perlu mengekalkannya sehingga ke akhir hayat. Kebahagiaan boleh dicapai berpandukan hadis berikut ''Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Sebaik-baik wanita ialah yang menyenangkan seorang lelaki apabila ia melihatnya, taat kepadanya apabila dia menyuruhnya dan tidak menyalahi suaminya dengan sesuatu yang tidak menyukakan pada dirinya dan hartanya" (Hadis Riwayat Muslim).

Isteri yang baik menurut hadis di atas ialah yang bersedia mempamerkan persembahan yang terbaik untuk suaminya sewaktu di dalam rumah. Maksudnya, apabila suami pulang ke rumah disambut oleh isteri dengan senyum mesra. Dia menyediakan air minuman kerana kemungkinan suami dahaga. Suami dalam keadaan itu akan senang hati walaupun mungkin terdapat masalah yang dihadapi sebelumnya.

Isteri sentiasa taat kepada suami dalam semua keadaan terutama apabila diminta oleh suami. Isteri juga tidak akan membantah kehendak suami selagi perkara yang disuruh itu tidak melanggar syariat.

Sungguhpun begitu, perkara yang penting dalam hal ini ialah isteri tidak membuat sesuatu yang tidak disukai oleh suami. Jadi, semua yang hendak dilakukan isteri, dia akan meminta restu dan pandangan suaminya terlebih dahulu.

Tiga perkara asas ini perlu dijaga oleh isteri semasa berhadapan dengan suami sama ada suami yang memenuhi ciri-ciri di atas atau tidak. Mungkin tidak timbul masalah bila berhadapan dengan suami yang baik, tetapi menjadi cabaran besar bila berhadapan dengan suami sebaliknya. Namun jika isteri dapat mendisiplinkan suaminya, itulah kejayaan yang besar buatnya.

Sebagai contoh, suami melarang isterinya solat atau menutup aurat, dia boleh membantah dengan cara baik. Dia tetap solat dan menutup aurat dengan alasan perintah Allah. Lambat laun suami itu akan faham dan dia juga akan turut melakukan solat secara istiqamah selepas itu.

Jadi, bagi mereka yang baru berkahwin dicadangkan supaya mereka saling menyenaraikan apa yang disukai oleh suami dan isteri, juga apa yang tidak disukai kedua-duanya. Dengan cara ini mereka akan berhati-hati supaya tidak melakukan perkara yang tidak disukai pasangannya dan hubungan akan kekal bahagia hingga akhir hayat.


credit to: majalah Muslimah
>

No comments: